Refleksi: Bila AI Disalah Guna, Siapa Sebenarnya Yang Gagal?

Diterbitkan pada: 8 Jun 2025

Ts. Dr. Suhailah Mohamed Noor | Founder Prompt Academy

Isu yang sedang tular di media sosial baru-baru ini tentang dakwaan seorang pensyarah bahawa tugasan pelajar disiapkan sepenuhnya menggunakan AI seperti ChatGPT benar-benar menyentuh satu titik kritikal dalam dunia pendidikan hari ini. Lebih memeningkan, pelajar langsung tidak mahu mengaku — malah mempertahankan bahawa tugasan tersebut adalah hasil kerja mereka sendiri.

Sebagai pendidik, saya tidak terkejut. Malah saya faham dilema yang dihadapi oleh pensyarah tersebut. Kita berada dalam satu era di mana maklumat dan jawapan boleh dijana dalam beberapa saat. Namun, kejujuran, pemikiran kritikal, dan nilai murni tidak boleh dijana secara automatik — ia perlu dibentuk.

Refleksi saya mudah: bila pelajar menyerahkan tugasan yang 100% digarap oleh AI tanpa pemahaman dan penglibatan sebenar, itu bukan lagi satu bentuk pembelajaran, tetapi peniruan yang licik. Malangnya, AI tidak dapat mengesan niat — dan pensyarah pula tersepit antara ingin mempercayai pelajar atau mempercayai data dari AI detector.

Namun begitu, kita juga perlu bertanya kepada diri kita sebagai pendidik:
Adakah kita memberi tugasan yang terlalu umum, mudah disalin, dan boleh dijawab terus oleh AI?
Jika ya, maka kita juga perlu bertanggungjawab untuk berubah.

Solusinya: AI-aware Assessment

Kuncinya bukan untuk menyekat AI — tetapi untuk mereka bentuk penilaian yang menuntut pemikiran, pengalaman, dan nilai peribadi pelajar. Soalan berbentuk kajian kes, refleksi diri, penilaian kritikal terhadap cadangan AI, atau projek dunia sebenar akan lebih menyukarkan AI untuk ‘meniru’ sepenuhnya.

AI bukan musuh, tetapi cermin kepada kelemahan sistem kita jika kita tidak bersedia.
Dan bila pelajar hanya meniru, siapa sebenarnya yang gagal? Pelajar? Atau sistem penilaian kita sendiri?

Bacaan Lanjut

Kongsi Artikel Ini

FacebookTwitter / XWhatsAppLinkedIn

Scroll to Top