AI Bukan Jalan Pintas
Menulis Kertas Ilmiah Masih Perlukan Arah, Fikir dan Jiwa
Oleh Ts. Dr. Suhailah Mohamed Noor • Ditulis pada 22 Jun 2025
AI boleh membantu penulisan. Tetapi arah, fikiran dan jiwa tetap datang daripada manusia.
Ramai menyangka bahawa menggunakan AI dalam penulisan akademik adalah “jalan pintas” atau lebih teruk, satu bentuk penipuan. Malah ada yang terus menganggap penggunaannya sebagai sesuatu yang “haram” dalam konteks penulisan ilmiah.
Namun, realitinya tidak semudah itu.
AI tidak akan menyelamatkan tulisan yang tidak mempunyai hala tuju.
Sebagai penulis akademik yang sedang bergelut menyiapkan dan menyemak kertas jurnal, saya boleh mengesahkan satu perkara penting: AI tidak akan menyelamatkan anda kalau anda sendiri tidak tahu hala tuju tulisan anda.
Prosesnya sangat panjang dan serius. Satu demi satu perenggan perlu disemak semula. Ayat perlu ditimbang dari segi maksud, nada dan aliran. Setiap rajah atau jadual pula perlu diperkenalkan dengan naratif yang sesuai.
AI boleh bantu mencadangkan ayat atau menyusun semula struktur, tetapi arah sebenar tulisan itu datang daripada penulis sendiri.
Menulis kertas akademik bukan kerja copy and paste.
Ia kerja fikir dan teliti.
Dalam proses ini, saya sedar bahawa yang paling mencabar bukanlah mendapatkan “idea baru”. Yang lebih mencabar ialah menyusun idea supaya difahami, menyampaikan hujah supaya dipercayai dan membina naratif supaya pembaca terhubung.
Ini bukan kerja copy and paste. Ini kerja fikir dan teliti.
“Eh, senanglah sekarang… semua boleh tanya AI.”
Saya hanya mampu senyum. Senang bagi siapa? Kalau tak tahu nak tanya apa, AI pun tak tahu nak jawab apa.
AI boleh bantu mempercepat, tetapi tidak boleh mengganti kebijaksanaan.
Manuskrip yang baik memerlukan arah, bukan hanya ayat yang cantik.
Proses semakan jauh lebih mencabar daripada penulisan awal. Ini bukan formaliti, ini kualiti.
Tentang AI Detection: Jangan Terlalu Bergantung
Satu lagi perkara yang sering disalahfahami ialah penggunaan AI detection tools dalam menilai sama ada sesuatu ayat ditulis oleh manusia atau mesin.
Alat ini seolah-olah dijadikan “penentu kebenaran mutlak” padahal hakikatnya, keputusan mereka tidak boleh dipercayai 100%.
Saya sendiri pernah mengalami situasi di mana ayat yang ditulis sepenuhnya oleh manusia diklasifikasikan sebagai “AI-generated”, hanya kerana struktur bahasanya terlalu tersusun atau menggunakan kosa kata tertentu.
Sebaliknya, ada ayat yang jelas dihasilkan oleh AI tetapi tidak dikesan. Ini membuktikan bahawa AI detection masih sangat terhad dan belum matang sepenuhnya.
Jadi, bayangkan kalau satu kertas ilmiah yang penuh usaha dan pemikiran manusia ditolak hanya kerana perisian mengatakan ia “mungkin” ditulis oleh AI?
Kita tidak boleh menjadikan perisian sebagai hakim tunggal terhadap hasil intelektual seseorang.
Yang lebih penting daripada pengesanan ialah niat dan tanggungjawab penulis. Jika AI digunakan sebagai alat bantu untuk menyusun, menyemak atau menterjemah idea yang memang berasal daripada fikiran manusia, maka itu adalah satu bentuk literasi digital, bukan salah laku.
Dalam dunia yang semakin kompleks ini, AI bukan musuh kepada penulisan ilmiah. Tetapi tanpa hala tuju penulis yang jelas, AI hanya menjadi alat kosong.
Menulis kertas akademik adalah proses berfikir, bukan sekadar menaip. Dan AI yang terbaik sekalipun, masih memerlukan manusia yang tahu ke mana mereka mahu pergi.
AI bukan jalan pintas.
Ia alat yang memerlukan arah, fikir dan jiwa manusia.
Tentang Penulis
Ts. Dr. Suhailah Mohamed Noor ialah Pengasas Prompt Academy, penulis, penyelidik dan jurulatih AI yang aktif membimbing pendidik, penyelidik dan organisasi dalam penggunaan AI secara bertanggungjawab. Melalui penulisan, latihan dan penyelidikan, beliau memperjuangkan falsafah bahawa AI menjadi benar-benar bermakna apabila dipandu oleh ilmu, pemikiran kritis dan pertimbangan manusia.